RichWorks sasar RM4 bilion jualan usahawan 2026

Shah Alam : RichWorks Consulting Group Sdn. Bhd. (RCG) meraikan kejayaan luar biasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah bimbingannya yang berjaya menjana jumlah jualan terkumpul sebanyak RM3.3 bilion sepanjang tahun lalu.

Prestasi itu menunjukkan peningkatan sebanyak 14 peratus berbanding jumlah jualan RM2.9 bilion yang dicatatkan oleh usahawan RichWorks pada tahun sebelumnya.

Mentor Usahawan Jutawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman memberitahu pertumbuhan jualan bukanlah hasil kebetulan tetapi menunjukkan komitmen tinggi usahawan yang berani bertindak berdasarkan ilmu kepimpinan dan strategi perniagaan teratur.

Beliau berkata, malah kejayaan itu dipacu oleh persediaan awal yang lebih sistematik serta pemahaman tepat terhadap dinamik pasaran semasa.

“Di belakang pertumbuhan yang konsisten, terdapat pasukan yang memainkan peranan penting dalam memastikan visi perniagaan tercapai.

“Kejayaan ini bukan milik pemilik perniagaan sahaja bahkan tulang belakang organisasi mereka,” katanya. 

Pencapaian memberangsangkan berkenaan didorong oleh ahli pementoran eksklusif daripada kumpulan The Titan dan Titan Circle Plus++ (TCP++), yang dibimbing secara intensif oleh Dr Azizan sendiri. 

Usahawan yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program bimbingan perniagaan boleh melayari laman web RichWorks atau menghubungi talian perhubungan syarikat.

Bercakap mengenai sasaran tahun ini pula, Dr Azizan berkata RichWorks yakin kumpulan usahawan yang dibimbing mampu mencapai jumlah jualan keseluruhan RM4 bilion.

RichWorks menyasarkan untuk memperluas penyertaan usahawan daripada 200 peserta kepada 350 peserta, menerusi pelaksanaan strategi yang lebih tersusun di bawah ekosistem SME 360 yang diperkemas.

“Misi kami membantu lebih ramai usahawan mencapai RM1 juta kepada skala yang lebih besar sehingga mencecah RM100 juta setahun melalui ekosistem ‘SME 360’ yang telah diperkemas,” ujarnya.

Bagi meraikan pencapaian berkenaan majlis Titan’s Inner Circle Meeting (ICM) – Titan Business Leadership Award 2026 diadakan, yang menghimpunkan pengiktirafan kepada 161 perniagaan membabitkan 198 penerima anugerah. Anugerah ini diberikan kepada usahawan yang mempamerkan prestasi kewangan kukuh dan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Antara kategori tertinggi yang diperkenalkan ialah The Titan Grandeur Award, yang disampaikan kepada lapan usahawan atas impak ekonomi yang besar serta kepimpinan strategik dalam perniagaan masing-masing.

Kerjasama strategik dengan Astro Malaysia Holdings Berhad turut diperkukuh melalui penyampaian Astro Inspirasi SeeNI Award, yang memberi pengiktirafan kepada usahawan yang berjaya memanfaatkan platform media untuk membina jenama dipercayai di pasaran.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, RichWorks telah melatih lebih dua juta peserta, menyumbang kepada pembentukan ekosistem PMKS yang inklusif dan berdaya saing di peringkat tempatan dan global.

Sumber Artikel : (MyMetro)
Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut : Di Sini