Prestasi memberangsangkan PMKS RCG, jualan meningkat 14 peratus pada 2025

KUALA LUMPUR — Kumpulan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah bimbingan RichWorks Consulting Group Sdn. Bhd. (RCG) terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila menjana jualan terkumpul RM3.3 bilion sepanjang 2025, meningkat 14 peratus berbanding RM2.9 bilion pada 2024.

Pencapaian ini direkodkan oleh kumpulan pementoran eksklusif RCG, The Titan dan Titan Circle Plus++ (TCP++), yang menghimpunkan usahawan-usahawan dibimbing secara dekat oleh Datuk Dr Azizan Osman, kebanyakannya telah melepasi jualan RM1 juta setahun.

Pengasas dan Presiden RCG serta Pengerusi RichWorks Group Holdings Berhad (RGHB), Dr Azizan berkata, peningkatan tersebut berlaku apabila usahawan menunjukkan komitmen tinggi dan melaksanakan tindakan yang tepat.

“Program Titan’s ICM diwujudkan sebagai ruang pembelajaran dan refleksi kepada usahawan yang dipantau secara dekat. Selain mengiktiraf prestasi dan kejayaan mereka, program ini turut mendedahkan ilmu kepimpinan, hala tuju strategik serta pendekatan praktikal yang relevan dengan cabaran perniagaan semasa dan masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Dr Azizan menghadiri Titan’s Inner Circle Meeting (ICM) – Titan Business Leadership Award 2026 yang diadakan bagi mengiktiraf hasil usaha dan pencapaian usahawan di bawah ekosistem RCG.

Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung semalam itu mengiktiraf pencapaian 161 perniagaan melibatkan 198 penerima anugerah, merangkumi pelbagai kategori berdasarkan prestasi kewangan, pertumbuhan perniagaan serta tempoh penyertaan dalam program bimbingan.

Majlis Titan Business Leadership Award 2026 turut mengiktiraf kategori yang mencatat pertumbuhan sekurang-kurangnya tiga peratus ke atas, dengan jualan perniagaan melebihi RM10 juta hingga RM800 juta setahun.

Bagi anugerah tertinggi The Titan Grandeur Award pula disampaikan kepada lapan usahawan atas kepimpinan strategik, pertumbuhan konsisten dan impak ekonomi berskala besar.

Selain itu, anugerah khas Astro Inspirasi SeeNI Award turut diberikan kepada usahawan yang memanfaatkan ekosistem penyiaran Astro bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dari aspek penjenamaan dan kepercayaan pasaran, hasil kolaborasi rasmi RichWorks bersama Astro Malaysia Holdings Berhad.

Mengulas lanjut, Dr Azizan berkata, kejayaan perniagaan tidak digerakkan oleh usahawan semata-mata, sebaliknya turut didukung oleh pasukan yang memastikan visi dan misi organisasi dapat dilaksanakan secara konsisten.

“Pertumbuhan mampan mesti melibatkan manusia, sistem dan kepimpinan yang bergerak seiring. Itulah asas yang ditekankan dalam ekosistem bimbingan RichWorks,” jelasnya.

Menurut Dr Azizan, melalui ekosistem ‘SME 360’ yang diperkemaskan hasil penstrukturan syarikat tahun lalu, RichWorks yakin dapat membantu lebih ramai usahawan pada pelbagai peringkat.

“Bantuan itu bermula daripada permulaan hingga perkembangan, iaitu mencapai jualan bukan sahaja RM1 juta, malah melebihi RM10 juta dan RM100 juta setahun,” katanya.

Sumber Artikel : (malaysiatribune)
Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut : Di Sini