JIKA dulu rutin hariannya di set penggambaran, kini pagi Memey Suhaiza bermula dengan live jualan, mesyuarat pasukan dan semakan operasi bisnes. Fasa hidupnya berubah, tetapi satu perkara kekal, kesungguhan yang tak pernah surut bila melakukan sesuatu.
Peralihan daripada dunia lakonan ke dunia keusahawanan bukan sekadar persinggahan buat Memey, sebaliknya menjadi perjalanan baharu yang dibina langkah demi langkah. Tanpa gimik, tanpa jalan pintas hanya kerja keras, disiplin dan sokongan keluarga sebagai tunjang.
Siapa sangka, dalam tempoh hanya tiga tahun mengemudi jenama Normey, perkembangan yang diraih cukup luar biasa.
Jika tahun lalu jualannya sekitar RM4 juta, kini angka itu melonjak berkali ganda. Bagi Memey, pencapaian tersebut masih terasa ‘tak nyata’.
“Kalau bandingkan dengan tahun lepas memang sangat berbeza. Saya sendiri kadang segan nak kongsikan angka sebenar, tapi Alhamdulillah peningkatannya besar dari tahun ke tahun,” katanya merendah diri.
Di sebalik kesibukan menguruskan bisnes yang kini mempunyai kira-kira 20 kakitangan tetap serta dibantu pekerja sambilan, pemilik nama sebenar Suhaiza Suhaimi itu mengakui rutin hariannya padat dari pagi hingga malam.
Tiada istilah goyang kaki, pagi dia sendiri turun padang membuat siaran langsung, malam pula bersama pasukan memantau operasi. Malah, komitmen itu jugalah menjadi sebab dia tidak lagi aktif di layar perak.
“Saya tidak terfikir ke arah itu (berlakon), tapi bukan bermakna minat sudah tiada. Cuma masa saya sekarang lebih kepada bisnes.
“Setiap hari saya fokus pada keluarga, anak-anak dan live jualan. Saya uruskan banyak perkara sendiri, sebab itu masa untuk kembali ke bidang seni agak terhad,” ungkapnya jujur.
Menariknya, walaupun sering dilihat sebagai wajah hadapan jenama tersebut, anak jati Kota Tinggi, Johor itu tidak lokek mengakui insan paling kuat di belakangnya ialah suami tercinta, Norman Hakim.
“Orang nampak Normey ini Memey sebab saya ke depan dari segi marketing, tapi sebenarnya ia takkan jadi tanpa suami.
“Norman orang di belakang tabir. Dia banyak belajar tentang struktur bisnes, susun strategi, kemudian dia ajar saya… dan saya pula turunkan kepada team,” kongsinya.
Ditanya mengenai kontroversi yang pernah melibatkan suaminya, Memey memilih pendekatan lebih tenang dan berhati-hati.
“Saya memilih untuk tidak bercakap soal personal. Saya lebih suka reserved. Kita sendiri pun ada banyak kekurangan dan kita tak tahu apa akan jadi pada masa depan.
“Kita tak tahu apa yang akan berlaku masa depan. Jadi, saya sentiasa doakan yang terbaik, secara umumnya, begitulah yang saya boleh katakan. Apa yang saya kongsi, itu saja untuk tatapan umum,” jelasnya.
Namun dari sudut perniagaan, dia bersyukur kerana kepercayaan pelanggan tidak pernah terjejas.
“Alhamdulillah, apa yang berlaku tak beri kesan pada bisnes. Pelanggan nilai kualiti dan servis.
“Alhamdulillah, dengan izin ALLAH, apa yang berlaku tak beri kesan pada bisnes. Pelanggan sekarang lebih nilai produk dan servis, bukan menilai cerita kontroversi semata-mata.
“Saya berniaga bukan sekadar suka-suka atau nak orang kenal jenama, tapi saya jaga kepercayaan pelanggan. Saya juga bersangka baik dengan semua orang, jadi tak pernah jadi isu,” ujarnya.
Jaringan komuniti bisnes
Seiring perkembangan jualan, pertumbuhan fizikal syarikatnya juga bergerak pantas. Bermula dari pejabat kecil, kini Normey memiliki dua bangunan operasi sendiri lengkap dengan ruang pengurusan dan gudang.
Lebih menarik, bangunan baharu yang pada awalnya hadir sebagai rezeki tidak disangka kini dirancang menjadi ruang yang lebih ‘hidup’.
“Saya asalnya nak buat butik, tapi pelanggan saya ramai ibu-ibu. Jadi saya terfikir mungkin buat ruang santai seperti kafe atau restoran kecil.
“Suami pula cadangkan bina surau sekali. Jadi bila Ramadan, orang boleh datang berkumpul, beli produk dan beribadah sekali,” ceritanya teruja.
Bagi Memey, kejayaan bukan semata-mata diukur pada trofi, tetapi pada progres kecil yang diraikan setiap hari, daripada sasaran jualan harian sederhana hinggalah mampu melepasi target sendiri.
Memasuki 2026, langkah ibu kepada tiga cahaya mata itu semakin agresif. Dia tidak mahu jenamanya sekadar wujud atau ikut arus, sebaliknya mahu berdiri sebaris pemain industri besar.
Melalui jaringan komuniti bisnes, wanita berusia 37 tahun itu kini semakin terdedah dengan dunia korporat lebih luas. Malah, dia sendiri terkejut apabila jenamanya yang masih baharu berjaya menempatkan diri dalam kelompok Top 50 dan Top 20 bagi beberapa pengiktirafan industri.
Sebagai pembuka tirai 2026, Memey menerusi jenama Normey turut meraih Inspirational Icon Award 2025 menerusi Key Leaders Awards 2026 anjuran Richworks, satu simbolik kepada transisi besarnya daripada dunia seni ke dunia perniagaan.
Anugerah tersebut disampaikan dalam Majlis Titan Business Leadership Award 2026 anjuran Richworks Consulting Group Sdn Bhd (RCG) yang mengiktiraf pelbagai kategori usahawan berdasarkan pertumbuhan jualan, kepimpinan strategik dan impak ekonomi melibatkan perniagaan.
Menyentuh mengenai penganjuran tersebut, ia bukan sekadar acara penghargaan tahunan, sebaliknya menjadi platform menghimpunkan komuniti usahawan yang berkongsi aspirasi sama, membina perniagaan yang lebih kukuh dan mampan.
Sebanyak 161 perniagaan diraikan, dengan 198 penerima anugerah menerima pengiktirafan atas pencapaian masing-masing. Anugerah tersebut diberikan kepada usahawan yang menunjukkan prestasi kewangan yang stabil, pertumbuhan konsisten serta keupayaan memimpin organisasi secara strategik dalam suasana pasaran yang semakin mencabar.
Antara pengiktirafan tertinggi yang disampaikan ialah The Titan Grandeur Award, yang diberikan kepada lapan usahawan. Mereka bukan sahaja mencatat jualan signifikan, malah berjaya meletakkan perniagaan pada tahap yang memberi impak ekonomi lebih luas dalam industri masing-masing.
Menurut Mentor Usahawan Jutawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman, pencapaian seperti itu tidak hadir secara kebetulan. Ia lahir daripada keberanian membuat keputusan, kesediaan menambah ilmu serta disiplin dalam melaksanakan perancangan yang tersusun.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah organisasi tidak terletak pada individu semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kekuatan pasukan yang bergerak dengan hala tuju yang sama.
“Di belakang pertumbuhan yang konsisten, ada pasukan yang memainkan peranan penting memastikan hala tuju perniagaan tercapai. Kejayaan ini bukan milik pemilik sahaja, tetapi tulang belakang organisasi mereka,” ujarnya.
Dalam masa sama, perkembangan positif itu turut dipacu oleh penyertaan usahawan dalam program pementoran berstruktur seperti The Titan dan Titan Circle Plus++ (TCP++). Program berkenaan memberi penekanan kepada bimbingan lebih intensif, khususnya dari aspek kepimpinan, strategi penskalaan serta penyesuaian model perniagaan dengan perubahan pasaran.
Pendekatan tersebut membantu usahawan merancang pertumbuhan daripada peringkat jualan jutaan ringgit kepada skala yang lebih besar secara lebih sistematik, selari dengan tuntutan transformasi bisnes masa kini.
Secara keseluruhan, komuniti usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah bimbingan RichWorks Consulting Group Sdn. Bhd. (RCG) merekodkan jumlah jualan terkumpul mencecah RM3.3 bilion sepanjang tahun lalu.
Angka itu menunjukkan peningkatan 14 peratus berbanding RM2.9 bilion pada tahun sebelumnya, satu pertumbuhan yang menggambarkan momentum positif dalam kalangan usahawan tempatan, khususnya mereka yang komited memperkemas strategi dan meningkatkan keupayaan pengurusan perniagaan.
Sumber Artikel : (sinarplus)
Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut : Di Sini
