Keberanian, Kualiti & Strategi

Impian musnah dalam sekelip mata, bangkit dengan peluang yang dibina.

Siapa yang nak berada di tahap terendah? Bila dah hampir dengan impian, tiba-tiba hancur berkecai. Untuk membina semula kejayaan, kita perlu melihat bagaimana segalanya pernah hancur.

Itulah kisah Mohamad Qashrie Md Noh, pengasas Otak-Otak Mr. Noh. Impian bertahun-tahun musnah dalam sekelip mata apabila kilangnya terbakar. Bukan sahaja hasil kerja kerasnya, tapi juga keyakinan diri hilang sekelip mata.

“Dulu kami jual otak-otak tepi jalan. Saya membesar dengan bau arang dan asap untuk bantu ayah panggang otak-otak depan rumah,” Qashrie memulakan cerita.

Otak-otak resepi keluarga, perlahan-lahan berkembang menjadi perniagaan makanan dengan jenama yang semakin dikenali ramai. Tapi dalam perjalanan menuju impian, cabaran datang tanpa diduga.

Keputusan Yang Membawa Padah

Pernah disaman, keputusan produksi yang terburu-buru, sehinggalah berlaku kebakaran yang memusnahkan kilang otak-otak yang dibina.

Qashrie juga pernah buat keputusan yang akhirnya membawa padah. Dia menukar bahan mentah kepada yang lebih murah untuk mengurangkan kos dan mempercepatkan pengeluaran sehingga tidak menjaga kualiti produknya. 

Pelanggan mula rasa perbezaan kualiti yang dulunya terbaik menjadi biasa-biasa sahaja membuatkan mereka hilang kepercayaan terhadap Otak-otak Mr. Noh. Jualan semakin merudum dan dalam diam, semangatnya juga hampir padam.

Langkah Kecil Mengubah Haluan Perniagaan

Tahun 2014 adalah tahun yang menjadi titik perubahan. Dalam keadaan terdesak, Qashrie hadir ke sebuah seminar bisnes percuma, tanpa tahu bahawa itulah langkah kecil yang bakal membuka pintu besar dalam hidupnya.

Dia sedar untuk bina semula perniagaannya, tak boleh guna cara lama. Game perniagaan sudah berbeza. Dia perlukan sistem, bimbingan dan strategi yang baru. Bukan sekadar bekerja kuat, tapi bekerja dengan bijak dan berstruktur.

Daripada situ, dia belajar untuk menilai semula dari segala sudut. Bukan semua kejatuhan itu musibah. Setiap kegagalan pasti ada peluang untuk membuka jalan kejayaan yang lebih besar.

Bila Betulkan Haluan, Semua Mula Kembali Teratur

Dengan bimbingan mentor bisnes yang berpengalaman, Qashrie mula menyusun semula segalanya dari asas. Dia memperkukuh operasi kilang, mengembalikan bahan mentah berkualiti dan menjadikan kualiti lebih utama daripada kelajuan.

Tugas diagihkan dengan lebih sistematik supaya dia tak lagi tersekat dalam ‘mode bertahan hidup’.

Kerjasama strategik dibina bagi memastikan aliran pelanggan sentiasa stabil. Dia mula mendigitalkan proses jualan dan penghantaran. Yang paling penting, Qashrie berjaya mendapatkan semula pensijilan HALAL yang hilang selepas tragedi kebakaran.

Membina Perniagaan dan Diri Sendiri

Hari ini, Otak-Otak Mr. Noh bukan lagi sekadar perniagaan keluarga. Qashrie berjaya membuka kejayaan yang lebih tinggi.

Daripada hanya 10,000 batang otak-otak sehari, kini mereka menghasilkan lebih 100,000 batang dan diiktiraf oleh FAMA serta pelbagai agensi negeri sebagai jenama tempatan yang berjaya.

“Saya belajar bina semula bukan saja bisnes, tapi diri sendiri dengan struktur, nilai dan kepimpinan yang sebenar,” katanya.

Dulu, dia pernah kehilangan segalanya. Tapi bila dia berani untuk ubah cara fikir, fokus kepada nilai dan kembali dengan semangat baru, dia bukan saja membina semula kilang, tapi juga membina legasi yang lebih kukuh.

Kini, Otak-Otak Mr. Noh berdiri sebagai bukti bahawa setiap kejatuhan boleh jadi peluang untuk bangkit semula jika kita berani muhasabah, belajar dan bertindak dengan bimbingan yang betul.

Tags :

Magazine

Share This :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *