Jenama Servis Motosikal Yang Kian Berkembang

Daripada hobi menjadi perniagaan dan membina hala tuju baru selepas diuji kehidupan.

Bagi kebanyakan orang, perubahan cuma berlaku bila keadaan memaksa. Tapi bagi Mohd Mustakim Bin Mohd Munawir, pengasas Dania Garage, setiap kegagalan adalah perjalanan sebenar yang perlu ditempuh untuk kecapi kejayaan.

Perjalanannya bukan sekadar kisah tentang motosikal, tapi tentang keberanian untuk mula semula, setiap kali hidup diuji.

Dari Ruang Kecil Menjadi Sebuah Jenama Besar

Segalanya bermula dari satu ruang kecil di rumah, pada tahun 2015. Bunyi enjin, bau minyak hitam dan tangan yang kotor dengan gris, itulah pejabat pertama Mustakim.

Waktu tu, Dania Garage bukan jenama besar. Ia sekadar tempat dia menyalurkan minat pada motosikal dengan mengubah suai, membaiki serta mencuba benda baru. Tapi bila minat disulam dengan kesungguhan, sesuatu pasti mula berubah.

“Dulu saya cuma fikir nak cari rezeki dengan buat benda saya suka. Tapi lama-lama saya sedar minat tanpa hala tuju pun boleh buat kita tersesat,” katanya.

Dari hobi, lahirnya satu bisnes sebenar. Pelanggan mula datang bukan sebab harga murah, tapi sebab percaya pada hasil kerja. Lama-kelamaan, bengkel kecil tu mula penuh. 

Saat Segalanya Diuji

Permulaannya tak mudah. Ada masa bisnes maju, ada masa jualan kurang. Tapi ujian paling besar datang sewaktu pandemik.

“Semua terhenti. Bengkel tutup, kerja tak ada. Masa tu saya fikir, habislah semua yang saya bina,” keluhnya.

Lebih separuh stafnya berhenti. Ada yang meninggalkannya dan beralih arah kepada pesaing. Dalam diam, Mustakim rasa kecewa dan hilang arah.

Namun di situlah titik perubahan berlaku. Dia mula bertanya semula pada diri, “Apa sebenarnya hala tuju Dania Garage? Apa saya nak capai dalam masa 5 tahun lagi? Saya nak jadi usahawan atau sekadar jadi pomen motosikal?”

Soalan tu jadi refleksi paling besar dalam hidupnya. Dan dari situ, perjalanan baru bermula.

Bila Minat Bertukar Menjadi Misi

Mustakim mula mencari bimbingan. Dia sedar, nak naik lebih tinggi, dia tak boleh jalan seorang. Pertemuan dengan RichWorks Consulting Group (RCG) jadi turning point sebenar.

“Circle yang saya ada sekarang, inilah circle yang saya cari selama ni,” katanya.

Di bawah bimbingan RCG, dia belajar membina struktur, bukan sekadar kerja ikut rutin. Dia belajar tentang sasaran jualan, strategi, sistem operasi dan kepimpinan. Semua perkara yang dulu dia tak pernah rasa penting.

Daripada buat semua sendiri, dia mula membina pasukan.

Jelas Dengan Matlamat

Bila bisnes mula berkembang, cabaran mula datang dalam bentuk yang baru. Bukan lagi tentang bagaimana ‘nak survive’, tapi tentang bagaimana ‘nak sustain’.

Mustakim mula melihat perniagaan dari perspektif yang lebih luas. Setiap cawangan mesti ikut standard yang sama. Tak boleh ada beza dari segi servis, disiplin dan kualiti.

Dia beri perhatian besar pada pengalaman pelanggan. Baginya, motosikal bukan sekadar kenderaan tapi ia adalah ‘jiwa’ kepada pemiliknya.

Jadi setiap kali pelanggan datang, mereka bukan sekadar baiki motor, tapi menyerahkan sepenuh kepercayaan.

Mustakim turut membina pasukan yang bukan sekadar pekerja, tapi keluarga.

“Masa saya hilang separuh staf dulu, saya belajar satu benda. Kalau nak bina bisnes yang kukuh, bina dulu manusia di dalamnya,” jelasnya.

Setiap ahli pasukan Dania Garage dilatih bukan hanya untuk pandai teknikal, tapi juga faham nilai jenama. 

Impian Untuk Berkembang Ke Seluruh Negara

Dania Garage kini menawarkan servis lengkap dari ubah suai prestasi motor, baik pulih, sampailah ke urusan insurans.

“Bila pelanggan datang semula lepas 3 tahun, bawa kawan atau anak mereka, itu tanda kita buat sesuatu dengan betul,” katanya lagi.

Visinya jelas, untuk kembangkan Dania Garage ke seluruh Malaysia dan jadi antara rangkaian servis motosikal paling dipercayai di negara ini.

Namun di sebalik semua pencapaian, Mustakim tak pernah lupa asasnya. Dia masih lelaki yang sama, yang dulu bermula dari ruang kecil di rumah.

Nak Jadi Lebih Baik Daripada Semalam.

“Dalam bisnes, kita selalu sibuk kejar angka. Tapi kalau lupa siapa diri kita, bisnes tu akan hilang makna,” jelasnya.

Bagi Mustakim sendiri, kejayaan sebenar bukan pada berapa banyak motor yang diservis, tapi berapa ramai orang yang dia dah bantu dari pelanggan, staf, hingga ke komuniti sekeliling.