Bangkit Membina Legasi

Bagaimana strategi dan bimbingan mengubah perjalanan Farmasi Everlife sebagai jenama kesihatan yang dipercayai ramai.

Dalam dunia bisnes yang sentiasa berubah dan penuh ketidaktentuan, tidak semua usahawan mampu bertahan, apatah lagi berkembang. 

Tetapi bagi Dato’ Ilaia Raja Sagadewan dan Datin Sumitra Ramachandran, setiap cabaran bukan pengakhiran buat mereka. Ia adalah satu peluang untuk fokus semula dan bangkit dengan lebih kuat serta jelas dengan arah tuju.

Hari ini, nama Farmasi Everlife bukan sekadar jenama farmasi biasa. Ia menjadi simbol perjalanan yang penuh jatuh bangun, refleksi diri dan keputusan berani yang diambil pada waktu paling sukar.

Kesedaran Diri Untuk Betulkan Haluan Baru

“Saya mula berniaga ketika umur baru 24 tahun, tanpa ilmu pengurusan yang betul. Yang saya ada hanyalah semangat dan keinginan untuk berjaya. Tapi bila berdepan realiti, saya sedar semangat saja tak cukup,” kata Datuk Wira Ilaia Raja.

Seperti ramai usahawan muda lain, beliau pernah berada di titik terendah dalam perniagaan. 

Ada semangat yang tinggi, tapi tak nampak jelas dengan hala tuju. Ada ketika kewangan tersekat, dan pernah timbul rasa untuk putus asa. Namun, itulah detik di mana timbul kesedaran untuk membetulkan haluan dan mula semula dengan lebih bijak.

“Kalau nak kekal lama dalam dunia bisnes, kita tak boleh main terjah. Kita kena ada strategi, ilmu dan sistem yang betul. Dari situ saya mula cari mentor dan belajar uruskan bisnes dengan lebih tersusun,” katanya lagi.

Bila Cabaran Jadi Permulaan Yang Baru

Setiap bisnes ada kisah ‘wake up call’ yang tersendiri. Bagi Farmasi Everlife, ia datang dalam bentuk pelaburan berisiko tinggi yang menyebabkan kerugian besar. Namun, daripada situ mereka sedar pentingnya kepimpinan yang berasaskan data, strategi dan bimbingan.

Dengan tunjuk ajar mentor bisnes dan RichWorks Consulting Group (RCG), Datuk Wira Ilaia Raja serta isterinya, Datin Wira Sumitra mula menyusun semula hala tuju syarikat. 

Daripada cara urus kewangan, struktur pasukan sehinggalah strategi pemasaran. Semuanya melalui fasa pembetulan semula.

“Kami mula dengan perkara kecil tapi memberi impak besar seperti memperbaiki cara komunikasi dengan pelanggan, menambah baik pengalaman dalam farmasi, dan melatih staf agar lebih efisien,” jelas Datin Sumitra.

Sedikit demi sedikit, perubahan itu membawa hasil. Jualan mula stabil, pelanggan mula percaya dan keyakinan yang dulu hampir hilang kini telah kembali.

Kebangkitan Farmasi Herbalife

Apabila pandemik melanda, banyak bisnes lain menjadi lumpuh. Tetapi bagi Farmasi Everlife, mereka tidak memilih untuk tunduk kepada ketakutan semasa itu, tetapi menyesuaikan diri dengan keadaan.

“Ramai tutup operasi, tapi kami ambil pendekatan berbeza. Kami tingkatkan strategi digital, fokus pada khidmat pelanggan dan guna data untuk buat keputusan pantas,” jelas Datuk Wira Ilaia Raja.

Hasilnya sangat luar biasa. Dalam masa tiga bulan, Farmasi Everlife mencatatkan pertumbuhan sebanyak 130%, satu pencapaian yang membuktikan bahawa strategi yang betul dan fokus mampu mengubah segalanya.

Hari ini, Farmasi Everlife bukan lagi bergantung pada individu tetapi berdiri atas pasukan yang kuat, sistem yang efisien dan strategi jangka panjang.

“Kami mahu bina legasi. Bukan sekadar keuntungan, tapi satu jenama yang dipercayai, yang memberi kesan positif kepada masyarakat,” tambah Datin Wira Sumitra lagi.

Bagi mereka, kejayaan bukan tentang siapa yang tidak pernah jatuh dalam perniagaan, tetapi tentang keberanian untuk bangkit semula setiap kali diuji.

Refleksi Sebelum Melangkah ke Tahun Baru

Menutup tahun ini, kisah Farmasi Everlife mengingatkan kita semua bahawa kadang-kadang, kita perlu berhenti sejenak. Lihat semula perjalanan lepas, apa yang perlu diperbetulkan. Betulkan niat, fokus pada matlamat dan bersedia untuk melonjak ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam dunia yang penuh persaingan, mereka membuktikan bahawa perubahan sebenar bermula bila kita berani berhadapan dengan diri sendiri. Dan dari situ, lahirlah kekuatan baru untuk membina sesuatu yang lebih besar iaitu sebuah legasi.