Sepintas Lalu
- Event: Inflasi; Tekanan Kos Sara Hidup
- Industri Berkaitan: Runcit, makanan & minuman (F&B), perkhidmatan kewangan, pelancongan, serta sektor pengguna domestik
- Potensi Impak:
- Tekanan kos sara hidup menjejaskan perbelanjaan isi rumah dan permintaan pengguna.
- Perniagaan kecil dan sederhana (SME) perlu menyesuaikan strategi harga dan kos operasi.
- Fokus dasar kerajaan dan bank pusat terhadap kestabilan harga dan pertumbuhan upah dijangka meningkat.
- Data inflasi rendah (1.3%) menunjukkan kestabilan makroekonomi, namun peningkatan kos harian kekal menjadi kebimbangan utama pengguna bandar.
Objektif
- Menjelaskan perbezaan antara kadar inflasi rasmi dan realiti kos sara hidup di lapangan
- Menilai kesan situasi ini terhadap perniagaan, khususnya SME
- Menggariskan strategi dan peluang bagi SME menyesuaikan diri dalam situasi kos tinggi
Rumusan
Pada 19 September 2025, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, menegaskan bahawa tekanan kos sara hidup adalah “real dan dirasai oleh ramai rakyat”, meskipun kadar inflasi rasmi negara kekal rendah.
Dalam temubual bersama Bernama dan The Malaysian Reserve, beliau menjelaskan bahawa angka inflasi yang sederhana tidak semestinya menggambarkan beban sebenar yang ditanggung isi rumah, kerana kenaikan harga yang berterusan sejak beberapa tahun lalu masih memberi kesan kepada kemampuan berbelanja rakyat.
Isu ini memberi implikasi besar kepada persekitaran perniagaan dan sektor SME, terutamanya yang bergantung kepada kuasa beli pengguna. Ketika rakyat lebih berhati-hati berbelanja, perniagaan kecil perlu lebih kreatif dan efisien dalam mengekalkan daya saing.
Realiti Kos Hidup dan Kesannya Kepada SME
Walaupun inflasi Malaysia kekal sederhana sekitar 1.4% hingga 1.9% bagi tempoh tujuh bulan pertama 2025, ramai isi rumah masih merasakan tekanan harga terutamanya dalam kategori makanan, sewa dan tenaga.
BNM menjelaskan bahawa indeks harga pengguna (CPI) hanya mengukur purata perubahan harga barangan dan perkhidmatan, tetapi corak perbelanjaan sebenar rakyat berbeza mengikut lokasi, gaya hidup dan tahap pendapatan.
Bagi isi rumah bandar misalnya, kos barangan asas dan sewaan lebih tinggi berbanding luar bandar. Justeru, beban hidup yang dirasai lebih besar daripada apa yang dicerminkan oleh data inflasi rasmi.
BNM mengakui bahawa isu kos sara hidup tidak boleh diselesaikan melalui dasar monetari semata-mata, sebaliknya memerlukan pertumbuhan pendapatan dan peluang pekerjaan yang mampan.
Bagi sektor perniagaan, khususnya SME, fenomena ini membawa beberapa cabaran utama:
- Kuasa beli pengguna semakin mengecil – pelanggan lebih berhati-hati, menyebabkan jualan produk bukan keperluan menurun.
- Kos operasi meningkat – termasuk bahan mentah, sewaan dan upah.
- Margin keuntungan tertekan – memaksa SME menilai semula struktur harga dan strategi kos.
Dalam konteks ini, perniagaan perlu menyemak semula model operasi dan nilai strategi, bukan hanya bergantung pada diskaun, tetapi menawarkan nilai tambah melalui kualiti, pengalaman pelanggan dan kecekapan operasi.

Kadar Inflasi Malaysia Mengikut Bulan, Ogos 2024 – Ogos 2025

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi tahunan Malaysia meningkat sedikit kepada 1.3% pada Ogos 2025 apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) naik kepada 134.9 berbanding 133.2 pada bulan sama tahun sebelumnya.
Walaupun kenaikan ini kecil, ia menunjukkan tekanan harga masih wujud dalam barangan keperluan asas, sekali gus menyokong pandangan BNM bahawa rakyat masih merasai beban kos sara hidup meskipun kadar inflasi keseluruhan kekal rendah.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan, peningkatan itu dipacu terutamanya oleh kenaikan kos dalam kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan yang melonjak 5.6%
Ini diikuti penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan pada kadar 4.0%.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir mahidin berkata, restoran dan perkhidmatan penginapan turut mencatatkan kadar 3.5%, pendidikan 2.4%, manakala kumpulan makanan dan minuman meningkat 2.0%.
Sebaliknya, beberapa kumpulan lain hanya merekodkan peningkatan perlahan.
“Antaranya perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang meningkat 1.2%, kesihatan 1.1% serta pengangkutan 0.2%.
“Dua kumpulan kekal pada jajaran negatif iaitu maklumat dan komunikasi (-5.6%) serta pakaian dan kasut (-0.1%)
“Bagi kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang hampir 30% daripada wajaran ihp, inflasi meningkat 2.0% berbanding 1.9% pada Julai”, kata beliau.
Sementara itu, jelas Mohd Uzir, inflasi makanan di luar rumah kekal tinggi pada 4.3% dengan beberapa item seperti sate, nasi campur dan martabak terus merekodkan kenaikan harga.
Namun begitu, makanan di rumah menurun 0.1%, disumbangkan oleh penurunan harga sayur-sayuran, susu dan telur, buah-buahan, bijirin serta daging.
Walaupun begitu, harga ikan dan makanan laut menunjukkan peningkatan ketara, khususnya ikan nyok-nyok, siakap, tongkol dan sotong.
Purata harga ayam standard di Semenanjung Malaysia pada Ogos 2025 direkodkan RM9.33 sekilogram, sedikit meningkat berbanding RM9.27 pada ogos 2024.
Pada masa sama, harga daging lembu tempatan dan bahagian ayam kekal pada jajaran negatif.
Inflasi dalam kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat perlahan apabila subkumpulan elektrik dan bahan api menurun 4.5% susulan pengemaskinian rebat tarif AFA.
Namun begitu, pelarasan tarif air di lima negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Pahang dan Terengganu sejak 1 Ogos 2025 mendorong kenaikan kos bekalan air dan penyelenggaraan rumah kediaman.
Kumpulan pengangkutan turut merekodkan peningkatan sederhana sebanyak 0.2 peratus. harga purata petrol RON97 pada Ogos 2025 turun kepada RM3.15 seliter berbanding RM3.47 pada tahun sebelumnya, manakala harga diesel di Semenanjung dicatatkan pada RM2.90 seliter berbanding RM3.27 pada ogos 2024.
Mengikut negeri, empat negeri mencatat inflasi lebih tinggi daripada paras nasional iaitu Johor (2.0%), Selangor (1.5%), Terengganu (1.5%) dan Negeri Sembilan (1.4%).
Kelantan pula merekodkan kadar terendah pada 0.1%.
Bagi subkumpulan makanan dan minuman, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing merekodkan peningkatan tertinggi pada kadar 3.0%.
Ketua Perangkawan Malaysia turut menjelaskan, 59.7% item dalam bakul IHP merekodkan kenaikan harga, namun, hampir keseluruhan peningkatan itu kekal di bawah 10%.
Beliau menegaskan, walaupun kadar inflasi keseluruhan masih rendah berbanding negara serantau seperti vietnam (3.2%) dan Indonesia (2.3%), beberapa komponen seperti insurans, makanan di luar rumah serta restoran terus memberi tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.
Peluang Strategik
- Inovasi produk & strategi nilai – Fokus kepada produk berkualiti dengan nilai jelas (value-for-money).
- Digitalisasi operasi & automasi – Gunakan teknologi untuk kawal kos, tingkatkan produktiviti, dan kurangkan tenaga kerja manual.
- Segmentasi pelanggan lebih tepat – Fahami corak belanja pelanggan pasca-pandemik dan tawarkan promosi bersasar (targeted offers).
- Kerjasama komuniti & ekosistem tempatan – SME boleh membina rantaian bekalan setempat yang lebih cekap dan jimat kos.
Kesimpulan
Kenyataan BNM menunjukkan bahawa isu kos sara hidup bukan sekadar statistik ekonomi, tetapi realiti yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan perniagaan.
Bagi SME, memahami realiti ini adalah langkah pertama untuk membina strategi yang lebih berdaya tahan. Dalam suasana di mana pelanggan semakin berhati-hati berbelanja, perniagaan yang mampu mengekalkan nilai, kecekapan dan empati terhadap pengguna akan terus kekal relevan.