Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 sejajar dengan karbon sifar 2050

Vol 28

Sepintas Lalu

  • Event: Pelan Hala Tuju Industri Keluli 2035 (SIR2035)
  • Industri Berkaitan: Pembuatan, Pembinaan, Tenaga, Logistik, dan Kejuruteraan
  • Potensi Impak:
    • Meningkatkan kecekapan dan ketahanan industri keluli negara melalui tiga fasa pelaksanaan
    • Menyokong matlamat penyahkarbonan ekonomi Malaysia menjelang 2050 selaras dengan National Energy Transition Roadmap (NETR)
    • Membuka peluang baharu untuk SME melalui rantaian bekalan hijau, green financing, serta perkhidmatan teknikal dan tenaga boleh diperbaharui
    • Menyediakan asas kepada pelaksanaan carbon tax dan penubuhan Carbon Competitiveness Fund menjelang 2026

Rumusan

Kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 (SIR2035) sebagai usaha menyeluruh untuk menstabilkan, merombak dan mentransformasikan industri keluli negara seiring aspirasi Malaysia mencapai sasaran karbon sifar menjelang 2050.

Walaupun tumpuan utama diberikan kepada industri berat seperti keluli, ia turut memberi kesan kepada seluruh ekosistem perniagaan, termasuk SME yang menjadi pembekal bahan mentah, logistik, rekaan, dan perkhidmatan teknikal.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, industri keluli merupakan antara sektor paling intensif karbon di Malaysia, sekali gus menjadikan agenda nyahkarbon sebagai satu keperluan, bukan sahaja dari sudut alam sekitar malah untuk kelangsungan ekonomi negara.

Malaysia Menuju Industri Keluli Hijau 2050: Apa Maknanya Kepada SME

SIR2035 yang sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 20230) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) itu dirangka berasaskan tiga fasa utama melibatkan 15 strategi.

FasaTempohFokus
1. Penstabilan Industri2025 – 2030 Tangani lebihan kapasiti, kukuhkan penguatkuasaan terhadap pengeluar tidak sah, jamin bekalan bahan mentah tempatan dan mulakan asas nyahkarbon.
2. Transformasi2027–2035 Bangunkan infrastruktur dan piawaian pengeluaran rendah karbon, serta percepat pelaksanaan mekanisme karbon dan pelaburan teknologi baharu.
3. Keluli Hijau Sepenuhnya2035–2050Gunakan tenaga boleh diperbaharui, hidrogen hijau dan automasi digital bagi mencapai sifar bersih dan daya saing global.

MITI menjelaskan bahawa industri keluli Malaysia kini berdepan ketidakseimbangan besar antara penawaran dan permintaan.

Menurut Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 (SIR2035), kapasiti huluan industri dijangka meningkat kepada 40.8 juta tan setahun menjelang 2030, manakala permintaan domestik dianggarkan hanya sekitar 14.7 juta tan. Jelasnya, jurang ini menyerlahkan lebihan kapasiti aset yang kurang digunakan, pulangan pelaburan yang lemah dan daya saing dan daya tahan keadaan pasaran yang semakin lemah.

Pelan tersebut akan menangani isu tersebut dengan memberi tumpuan kepada isu lambakan dan penghantaran semula dan bagaimana membendung perkara ini daripada terus berlaku untuk jangka pendek.

Kesan langsungnya dapat dilihat melalui:

  • Pulangan pelaburan (ROI) yang lemah, kerana kos operasi tidak seimbang dengan hasil pengeluaran sebenar.
  • Tekanan harga pasaran, apabila lambakan produk menyebabkan harga keluli tempatan jatuh di bawah kos pengeluaran.
  • Daya tahan syarikat kecil terjejas, termasuk SME pembekal bahan mentah, perkhidmatan logistik, dan fabrikasi logam.

Untuk menangani isu ini, kerajaan melaksanakan moratorium pembinaan kemudahan baharu, memperketat penguatkuasaan terhadap pengilang tidak berlesen, dan memperkenalkan Rang Undang-Undang Keluli bagi mengawal lambakan dan penghantaran semula (re-shipment).

Selain nyahkarbon, SIR2035 turut menekankan keperluan industri beralih daripada pengeluaran produk panjang (long products) seperti besi tetulang kepada produk rata (flat products) yang digunakan dalam industri bernilai tinggi seperti automotif, tenaga dan elektronik.

Peralihan ini membuka peluang baharu kepada SME dalam sektor fabrikasi logam, rekaan kejuruteraan, dan pembekalan bahan komponen untuk pasaran bernilai tambah tinggi.

MITI turut memperkenalkan beberapa mekanisme sokongan kewangan bagi mempercepatkan transformasi industri:

  • Green Technology Financing Scheme (GTFS 3.0) – Pembiayaan RM2 bilion untuk projek tenaga hijau dan automasi rendah karbon.
  • Dana Lestari BNM – RM1 bilion bagi pelaburan tenaga boleh diperbaharui.
  • CGC GreenBizReady – Skim jaminan kredit untuk SME dalam peralihan hijau.
  • Carbon Competitiveness Fund – Dana baharu yang dibiayai hasil carbon tax sektor keluli bagi membantu syarikat tempatan melabur dalam teknologi hijau, memperkukuh eksport, dan meningkatkan kecekapan tenaga.

Menurut Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 (SIR2035), kerajaan menyasarkan untuk memperkenalkan cukai karbon (carbon tax) seawal tahun 2026 bagi merangsang proses nyahkarbon industri keluli negara. Hasil daripada cukai tersebut akan disalurkan ke dalam Dana Daya Saing Karbon (Carbon Competitiveness Fund), yang akan digunakan untuk membiayai pelaksanaan teknologi rendah karbon, pengembangan pasaran, serta daya saing eksport.

Selain itu, beberapa instrumen penentuan harga karbon tambahan seperti skim perdagangan pelepasan (emissions trading scheme, ETS) dan sistem had dan dagangan (cap-and-trade system) dijangka diperkenalkan bermula tahun 2027. Pengeluar keluli juga akan diwajibkan untuk mendedahkan maklumat pelepasan karbon dan mematuhi piawaian keluli hijau antarabangsa yang telah dipersetujui.

Kementerian berkaitan turut merancang untuk memperkenalkan inisiatif pembelian keluli tempatan beremisi rendah, yang akan dilaksanakan melalui pelarasan peraturan perolehan bagi projek infrastruktur awam serta pembangunan cadangan insentif untuk syarikat swasta yang menggunakan keluli hijau tempatan.

Bagi SME, ini bermaksud dua perkara penting:

  • Perlu mula menilai dan mengurangkan carbon footprint operasi, dan
  • Berpeluang memohon dana untuk naik taraf peralatan, automasi, dan pensijilan hijau.

SIR2035 turut menyokong usaha kemampanan serantau di bawah ASEAN. Malaysia mencadangkan kerangka kerjasama serantau bagi memperkukuh daya tahan industri keluli ASEAN, membuka peluang kolaborasi lintas sempadan, dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran hijau rantau ini.

Kesimpulan

SIR2035 bukan hanya pelan untuk industri keluli — ia adalah cerminan hala tuju ekonomi Malaysia yang menyeimbangkan antara pembangunan dan kelestarian.

Apabila industri berat mula melaksanakan strategi nyahkarbon, SME tidak boleh ketinggalan. Inilah masa untuk menilai semula operasi, menyesuaikan strategi, dan melabur dalam teknologi hijau bagi kekal relevan dalam ekonomi masa depan.

“Tiada ekonomi hijau tanpa penyertaan SME. Transformasi ini bukan pilihan, tetapi keperluan untuk memastikan daya tahan ekonomi negara.”
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), 2025