KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 — Dalam landskap ekonomi yang penuh ketidaktentuan, ramai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bergelut untuk mengekalkan momentum pertumbuhan. Namun, bagi kumpulan usahawan di bawah bimbingan RichWorks Consulting Group Sdn Bhd (RCG), cabaran tersebut diterjemahkan sebagai peluang untuk memperkukuh asas perniagaan dan melonjakkan prestasi ke tahap lebih tinggi.
Pada tahun 2025, jualan terkumpul kumpulan pementoran eksklusif RCG yang merangkumi RCG, The Titan dan Titan Circle Plus++ (TCP++) mencecah RM3.3 bilion, meningkat 14 peratus berbanding RM2.9 bilion pada 2024. Lebih signifikan, pencapaian ini direkodkan ketika kuasa beli pengguna melemah dan sentimen pasaran berada dalam keadaan berhati-hati.
Menurut Pengasas dan Presiden RichWorks Consulting Group serta Pengerusi RichWorks Group Holdings Berhad (RGHB), Datuk Wira Dr. Azizan Osman, peningkatan tersebut tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada persediaan awal yang tersusun dan pelaksanaan strategi yang tepat oleh para usahawan.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, mereka yang menang bukan semata-mata bekerja lebih kuat, tetapi bekerja dengan hala tuju yang jelas. Apa yang kami tekankan adalah keupayaan usahawan untuk membuat keputusan strategik berdasarkan realiti semasa, bukan emosi atau andaian,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan ahli Titan kini berada pada fasa perniagaan matang dengan jualan melebihi RM1 juta setahun, sekali gus memerlukan pendekatan kepimpinan dan pengurusan organisasi yang lebih sistematik.
Berbeza dengan program latihan konvensional, RichWorks menekankan pembangunan karakter dan pemikiran pemimpin perniagaan, bukan hanya kemahiran teknikal.
“Ramai usahawan pandai berniaga, tetapi tidak semua bersedia untuk memimpin organisasi. Untuk membina perniagaan yang mampan, kita perlu membina manusia di belakangnya cara mereka berfikir, membuat keputusan dan membina pasukan,” ujar Dr. Azizan.
Pendekatan ini diterjemahkan melalui Titan’s Inner Circle Meeting (ICM) yang dianjurkan tiga kali setahun sebagai platform pembelajaran mendalam, refleksi kepimpinan dan perkongsian strategi praktikal antara usahawan berprestasi tinggi daripada pelbagai industri.
Selari dengan penganjuran Titan’s ICM, Titan Business Leadership Award 2026 diadakan bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa para usahawan di bawah ekosistem RichWorks. Tahun ini, sebanyak 161 perniagaan melibatkan 198 penerima anugerah diraikan merangkumi pelbagai kategori berdasarkan prestasi kewangan, kadar pertumbuhan dan tempoh penyertaan dalam bimbingan.
Menariknya, pengiktirafan tidak hanya tertumpu kepada pemilik perniagaan, malah turut diperluaskan kepada pasukan pengurusan dan kakitangan yang menjadi tulang belakang kejayaan organisasi.
“Pertumbuhan mampan mesti melibatkan manusia, sistem dan kepimpinan yang bergerak seiring. Kejayaan tidak boleh dibina secara solo,” tegas Dr. Azizan.
Antara perkembangan paling signifikan dalam ekosistem Titan ialah usaha membawa beberapa syarikat ke Bursa Malaysia. Menurut Dr. Azizan, ketika ini tiga syarikat Titan sedang melalui fasa audit dan proses bersama investment banker, dengan sasaran penyenaraian dalam tempoh terdekat.
“Ini penting kerana bilangan syarikat Bumiputera yang tersenarai di Bursa masih sangat kecil. Kami mahu membuktikan bahawa PMKS tempatan juga mampu berkembang ke tahap IPO, seterusnya menembusi pasaran ASEAN dan Timur Tengah,” katanya.
Antara syarikat yang boleh dikongsi secara terbuka ialah PTTI Group, manakala dua lagi masih dalam proses audit.
Melangkah ke hadapan, RichWorks menyasarkan jualan terkumpul RM4 bilion bagi kumpulan Titan, dengan kadar pertumbuhan konsisten sekitar 10 hingga 15 peratus setahun. Dari segi pembangunan usahawan, seramai 300 hingga 350 usahawan disasarkan untuk dibimbing secara dekat pada 2026, berbanding sekitar 200 orang sebelum ini.
Dalam masa sama, inisiatif SME 360 dan sesi bimbingan percuma turut diteruskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan menilai potensi sebenar perniagaan mereka.
Sejak ditubuhkan pada 2008, RichWorks telah membimbing lebih dua juta peserta, khususnya usahawan PMKS merentasi pelbagai industri. Komitmen ini selari dengan aspirasi nasional untuk membina ekosistem PMKS yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berimpak tinggi kepada ekonomi negara.
“Matlamat kami bukan sekadar melahirkan usahawan berjaya, tetapi membina pemimpin perniagaan yang mampu mencipta pekerjaan, memacu inovasi dan menyumbang kembali kepada masyarakat serta negara,” kata Dr. Azizan.
Dengan pendekatan bimbingan jangka panjang, fokus kepada kepimpinan dan hala tuju strategik, ekosistem Titan RichWorks kini dilihat bukan sahaja sebagai pemangkin pertumbuhan PMKS, malah sebagai landasan kepada pembinaan syarikat tempatan bertaraf nasional dan global.
Sumber Artikel : (Suara.TV)
Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut : Di Sini
