Bila Tujuan Jadi Panduan

Semangat dan kerja keras  tanpa ilmu serta bimbingan, bukan jaminan untuk kekal berjaya.

Bukan semua perjalanan perniagaan bermula dengan impian besar, tapi ada yang bermula dengan keperluan. Bagi Ir. Mohd Zainudin A. Bakar, keperluan itulah yang memaksanya untuk berani melangkah ke dunia perniagaan.

Anak jati Terengganu ini bukanlah lahir sebagai usahawan. Beliau seorang jurutera mekanikal yang membina kerjaya dalam bidang teknikal. Namun beliau memilih untuk berniaga kerana desakan keadaan.

“Masa tu saya cuma nak cari jalan untuk biaya pembedahan anak saya. Dari situ saya mula berniaga, tapi tanpa ilmu. Akhirnya, syarikat pertama saya gagal,” jelasnya.

Itulah titik mula detik di mana beliau terpaksa memilih antara terus tenggelam dalam rasa kecewa, atau bangkit membina semula dari kosong.

Berniaga Tanpa Semangat Yang Cukup

Bagi ramai orang, kegagalan adalah penamat. Tapi bagi Zainudin, ia menjadi ruang untuknya bermuhasabah. Syarikat pertamanya berjaya menjana jutaan ringgit, namun tanpa sistem dan kawalan kewangan yang kukuh, semuanya runtuh perlahan-lahan.

“Jualan bukan masalah. Duit masuk memang banyak, tapi saya tak ada struktur. Semua saya buat sendiri. Bila masalah datang, saya tak mampu kawal. Saya sedar, saya pandai buat duit, tapi saya tak pandai urus bisnes,” katanya lagi.

Itulah realiti yang ramai usahawan hadapi tanpa sedar. Kadang-kadang, semangat tinggi dan kerja keras bukan jaminan untuk kekal berjaya. Tanpa ilmu dan bimbingan, kejayaan yang dibina boleh hilang dalam sekelip mata.

Bila Dah Nampak Arah Sebenar

Selepas kegagalan itu, Zainudin mengambil masa untuk reset semula. Tiada lagi obsesi pada keuntungan. Yang tinggal hanyalah satu persoalan penting, iaitu apa sebenarnya tujuannya berniaga? Beliau nak bina sesuatu yang ada makna. Bila jelas dengan tujuan, pasti nampak jalan.

Pada tahun 2010, beliau menubuhkan ZABSI Industrial Ventilation. Bermula dari kecil dengan misi yang jelas untuk menyediakan penyelesaian pengudaraan dan sistem udara bersih bagi sektor minyak dan gas serta petrokimia di Malaysia.

Semuanya dibuat berlandaskan disiplin kejuruteraan dan kejujuran dalam servis. Dan dari situ, kepercayaan dibina semula, perlahan-lahan ZABSI menemui rentaknya.

Ilmu Jadi Penggerak

Walaupun sudah bebas daripada hutang dan kembali stabil, namun masih ada yang kurang. Bisnesnya bergerak, tapi tidak berkembang. Untuk membawa ZABSI ke tahap lebih tinggi, beliau perlukan bimbingan dan sistem yang betul.

Itulah saat beliau bertemu RichWorks Consulting Group (RCG), dan menyertai Platinum Mentorship Program.

Dalam tempoh yang singkat, ZABSI mencatatkan peningkatan lebih 260%. Bukan semata-mata dari segi jualan, tapi dari segi struktur, sistem dan prestasi pasukan.

Ia bukan lagi bisnes yang bergantung pada tenaga seorang individu, tetapi sebuah organisasi yang dibina atas prinsip jelas dan nilai yang kukuh.

Selepas beberapa tahun, Zainudin berhenti seketika daripada program mentoring. Namun pada tahun 2022, beliau kembali melalui program pementoran The Titan. Dan hasilnya luar biasa. 

Dalam masa setahun, ZABSI mencapai pertumbuhan kumulatif 162% berbanding sebelumnya.

Kini, ZABSI bukan lagi syarikat kecil yang bergelut dengan cash flow atau masalah pengurusan. Ia berdiri kukuh sebagai sebuah penyedia penyelesaian kejuruteraan bervisi dan dipercayai dalam industri.

“Dulu saya kejar jualan. Sekarang saya bina sistem, saya didik orang dan saya bangunkan pasukan. Saya sedar, kejayaan sebenar bukan bila kita buat semua sendiri, tapi bila kita boleh bangunkan orang lain untuk teruskan legasi.”

Refleksi Menjelang Tahun Baru

Bila ditanya apa yang paling besar beliau pelajari sepanjang perjalanan ini, jawapan Zainudin adalah reset semula niat, fokus pada apa yang penting dan bangkit dengan semangat baru. Beliau percaya, kalau hati betul dan tujuan jelas, jalan akan terbuka luas.

Dalam dunia yang penuh tekanan dan persaingan, kisah Zainudin mengingatkan kita bahawa kejayaan bukan tentang siapa paling cepat, tapi siapa paling jelas dengan hala tuju.

Kadang-kadang, langkah paling berani bukan bila kita mula semula dari kosong, tapi bila kita jujur dengan diri sendiri tentang apa yang kita benar-benar nak capai.

Tags :

Magazine

Share This :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *