Sepintas Lalu
- Event: Penamatan subsidi telur ayam secara berfasa bermula 1 Mei 2025 dan tamat sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
- Industri Berkaitan: Peruncitan, industri makanan & minuman (F&B), industri penternakan ayam dan pengeluar telur, usahawan SME dalam sektor makanan.
- Potensi Impak: Penamatan subsidi dijangka menyebabkan peningkatan harga telur secara berperingkat, yang akan memberi tekanan kos kepada sektor perniagaan makanan – terutamanya usahawan kecil yang bergantung kepada telur sebagai bahan asas. Kesan ini melibatkan margin keuntungan yang mengecil, kenaikan harga produk akhir, serta keperluan untuk menyemak semula strategi kos.
Objektif
- Memberi pencerahan kepada usahawan tentang kesan penamatan subsidi telur terhadap kos dan operasi
- Mencadangkan lang-langkah proaktif yang boleh diambil untuk mengurus impak penamatan subsidi ini
Rumusan
Penamatan subsidi telur ayam adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menyusun semula subsidi secara bersasar demi kelestarian fiskal negara. Walaupun memberi tekanan jangka pendek, langkah ini membuka ruang kepada pasaran yang lebih sihat dan kompetitif
Usahawan F&B perlu segera menyemak kos operasi, cari alternatif bekalan, dan sesuaikan strategi produk agar kekal relevan. Cabaran ini juga peluang untuk memperkukuhkan model bisnes dan daya tahan (sustainability).
Dalam dunia bisnes yang sentiasa berubah, mereka yang cepat menyesuaikan diri akan terus bertahan dan berkembang, bukan semata-mata kerana modal besar, tetapi kerana strategi yang cekap dan responsif.
Kesan & Tindakan Peniaga Apabila Subsidi Telur Ditamatkan
Apa Sebenarnya yang Berlaku?
Menurut kenyataan media, selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa, kerajaan telah bersetuju supaya kawalan harga telur ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025. Seterusnya, pemberian subsidi bagi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, berikutan kos pengeluaran yang telah stabil. Keadaan ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu, di mana ketersediadaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif.“
— Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
Jelasnya, sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 billion untuk membiayai subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Rusia ke atas harga import soya dan jagung bijian.
Katanya, kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluaran telur tempatan serta kewangan negara.
Langkah penyasaran semula itu, menurut KPKM, juga dianggap lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi. Hasil penjimatan daripada peruntukan terbabit kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI.
Bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Diri (KPDN) akan melaksanakan langkah intervensi termasuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
Selain itu, rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Apa Maksudnya kepada Usahawan dan Peniaga Kecil?
1. Kenaikan Harga Jangka Pendek
Dalam jangka masa terdekat, harga telur dijangka meningkat apabila subsidi ditarik balik sepenuhnya. Ini akan memberi kesan langsung kepada peniaga makanan – terutamanya yang bergantung kepada telur sebagai bahan asas seperti penjual roti, kuih-muih, nasi lemak, mi goreng, kek, dan lain-lain.
2. Tekanan Margin Keuntungan
Peniaga kecil perlu memilih sama ada menaikkan harga jualan atau mengurangkan margin keuntungan. Kedua-dua pilihan ini memberi risiko – kenaikan harga boleh mengurangkan permintaan pelanggan, manakala margin yang terlalu kecil boleh menjejaskan kelangsungan bisnes.
3. Peluang Menyemak Kos dan Rantaian Bekalan
Dalam krisis ada peluang. Usahawan boleh mengambil kesempatan ini untuk menyemak semula kos operasi, mencari pembekal alternatif yang lebih kompetitif, atau beralih kepada strategi pembelian pukal (group purchase) bersama peniaga lain bagi mengurangkan kos.
4. Kreativiti Menu dan Strategi Harga
Bagi perniagaan makanan, ini juga masanya untuk mencipta variasi menu yang tidak bergantung sepenuhnya kepada telur, atau memperkenalkan produk yang boleh menampung kos lebih tinggi dengan nilai tambah yang jelas kepada pelanggan.
5. Pantau Pengenalan Telur Gred Khas
Kerajaan akan memperkenalkan telur Gred Khas dengan harga yang lebih terkawal. Peniaga perlu memantau bila dan di mana bekalan ini akan tersedia serta siapa pembekalnya – ia mungkin boleh menjadi alternatif lebih stabil untuk jangka pendek.
Kesimpulan: Bersedia Hadapi Perubahan Pasaran
Penamatan subsidi telur ayam adalah sebahagian daripada reformasi subsidi bersasar kerajaan yang lebih kuas. Walaupun perubahan ini boleh mendatangkan tekanan kepada perniagaan kecil dalam jangka pendek, ia juga mendorong para usahawan untuk menyesuaikan strategi mereka dengan lebih fleksibel, kreatif dan mampan.
Peniaga perlu segera membuat semakan harga, rangka pelan kos baharu, dan komunikasikan perubahan ini secara telus kepada pelanggan. Dalam dunia bisnes yang sentiasa berubah, yang berjaya bukanlah yang paling kuat, tetapi yang paling cepat menyesuaikan diri.