Trump’s Tariffs – Ancaman atau Peluang untuk Perniagaan Malaysia?

Vol 14

Sepintas Lalu

  • Event: Tarif Baharu AS oleh Trump
  • Industri Berkaitan: Perdagangan Antarabangsa, Eksport, Elektrik & Elektronik, Perkilangan
  • Potensi Impak: Perniagaan Malaysia mungkin terkesan akibat ketegangan perdagangan global, terutama sektor eksport dan rantaian bekalan yang bergantung pada pasaran AS & China.

Rumusan

Tarif baharu yang dicadangkan oleh Donald Trump boleh mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran global, dan Malaysia tidak terkecuali. Walaupun bukan sasaran utama, Malaysia mungkin menerima kesan tidak langsung melalui rantaian bekalan, eksport, dan aliran pelaburan asing.

Industri utama seperti elektrik & elektronik, perkilangan kontrak, dan agrikomoditi berisiko terjejas. Dalam masa sama, ia turut membuka ruang kepada syarikat Malaysia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pembekal China.

Oleh itu, pemilik perniagaan perlu mengambil langkah bijak dengan memantau dasar global, mempelbagaikan pasaran, dan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas untuk kekal kompetitif dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Trump umum tarif timbal balik, Malaysia kena 24 peratus

Pada 2 April 2025, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan pelaksanaan tarif baharu yang dikenali sebagai “Liberation Day Tariffs“. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan defisit perdagangan AS dengan mengenakan tarif antara 10% hingga 50% ke atas pelbagai barangan import.

Malaysia, sebagai salah satu rakan dagang utama AS di ASEAN, turut terkesan dengan pengenaan tarif sebanyak 24% ke atas produknya yang dieksport ke AS, berkuat kuasa pada 9 April 2025.

Bagi yang tidak tahu makna tarif, ia merupakan cukai yang dikenakan oleh kerajaan sesebuah negara ke atas barang dan perkhidmatan yang diimport dari negara lain. Tarif ini boleh digunakan untuk meningkatkan pendapatan, mempengaruhi aliran perdagangan, atau melindungi industri domestik negara tersebut.

Berikut merupakan beberapa sebab sesebuah negara itu mengenakan tarif:

  • ✅ Memelihara Perniagaan dan Pekerjaan Tempatan
  • ✅ Melindungi Kepentingan Pengguna Domestik
  • ✅ Melindungi Industri Baharu
  • ✅ Menyediakan Keselamatan Negara

Tarif asas sebanyak 10% telah dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan import ke Amerika Syarikat bermula 5 April 2025 (Sabtu) yang lepas. Sementara kadar yang lebih tinggi untuk negara yang dianggap sebagai “pelaku terburuk” akan berkuat kuasa pada 9 April 2025.

Menurut Trump, tarif ini dikenakan bagi menangani ketidakseimbangan perdagangan akibat perbezaan tarif yang tidak adil serta halangan bukan tarif yang dikenakan negara lain. Hampir ke semua rakan dagang termasuk rakan sekutu telah dikenakan tarif ini.

Untuk pengetahuan anda, tarif yang dikenakan ke atas negara kita, Malaysia adalah sebanyak 47% dengan kadar diskaun sebanyak 24%.

Antara tarif timbal balik yang tinggi dikenakan terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah 20 peratus, Vietnam 46 peratus, Sri Lanka 44 peratus, Kemboja 49 peratus, Laos 48 peratus dan Myanmar 44 peratus.

Tarif ini bukan timbal balik sepenuhnya. Saya boleh lakukan timbal balik penuh tetapi ia akan menyukarkan banyak negara. Kita tidak mahu itu terjadi,” kata Trump ketika mengumumkan tarif berkenaan.

Berdasarkan data yang dikumpul Reuters, Malaysia disenaraikan sebagai negara dengan defisit dagangan bernilai AS$25 billion manakala China sebanyak AS$295 bilion.

Defisit dagangan bermakna Malaysia mengeksport lebih tinggi berbanding import barangan dari AS.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS mencecah RM324.9 bilion pada tahun 2024. AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, selain menyumbang 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara.

Peningkatan nilai tarif yang besar yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia berpotensi menyumbang kepada penyusutan nilai eksport Malaysia ke negara itu sebanyak RM187.6 billion.

Centre For Future Studies Berhad (The Future) berkata, sekiranya Malaysia mengambil langkah untuk tidak mengenakan timbal balik tarif, lebihan dagangan Malaysia-AS dijangka menjadi defisit kepada RM108.5 billion pada tahun ini.

Jelasnya, peningkatan tarif oleh AS itu akan menyebabkan kos barangan Malaysia menjadi lebih mahal, menjadikannya kurang berdaya saing berbanding pembekal domestik atau pembekal asing lain. Ia tambahnya, akan mengurangkan permintaan daripada pembeli AS, seterusnya mengurangkan eksport Malaysia ke AS.

Selain itu, ujarnya, penyusutan dalam nilai eksport Malaysia ke AS dijangka akan mengurangkan penjanaan keluaran dalam kasar negara (KDNK) sebanyak RM32.9 billion.

Akibatnya, kadar penciptaan guna tenaga berkurangan sebanyak 269,000 orang dan penyusutan gaji dan upah dan hasil kutipan cukai tidak langsung masing-masing sebanyak RM10.7 billion dan RM0.6 billion.

Sektor elektronik Malaysia, yang merupakan penyumbang utama kepada eksport negara, dijangka menghadapi impak yang signifikan. Pada tahun 2024, eksport produk elektrik dan elektronik ke AS bernilai RM120.2 bilion.

Walaupun terdapat pengecualian tarif untuk beberapa produk semikonduktor, kebimbangan timbul bahawa produk elektronik siap mungkin tidak mendapat pengecualian yang sama.

Buat masa ini, Tengku Zafrul berkata, beberapa pengecualian melindungi sektor semikonduktor iaitu kategori eksport terbesar Malaysia ke AS.

Tarif yang dikenakan oleh Trump ke atas Malaysia ini boleh menjadi cabaran atau peluang kepada negara kita. Untuk mengetahui cabaran dan peluang tersebut anda boleh lihat pada kesan baik dan buruk tarif ini yang dinyatakan di bawah:

  1. Peluang Pelaburan dan Pemindahan Rantaian Bekalan
    • Negara-negara yang terlibat dalam perang perdagangan AS-China seperti Malaysia berpotensi mendapat manfaat kerana pindahan kilang dan rantaian bekalan dari China, terutamanya dalam pengeluaran produk elektronik dan komponen yang biasanya dieksport ke AS.
  2. Pertumbuhan Sektor Perkilangan
    • Malaysia mendapat manfaat daripada pembangunan sektor perkilangan kerana tarif yang dikenakan terhadap produk China membuka peluang untuk lebih banyak pengeluaran domestik di Malaysia.
  3. Pasaran Eksport Meluas
    • Malaysia dapat mencari pasaran alternatif bagi produk-produk yang biasa dieksport ke AS, seperti komoditi, elektronik, dan produk pertanian. Ini memberi peluang untuk diversifikasi eksport ke pasaran-pasaran lain, terutamanya ASEAN dan Eropah.

  1. Kenaikan Kos Pengeluaran
    • Kenaikan tarif import oleh AS menyebabkan kenaikan kos bahan mentah untuk negara-negara yang bergantung kepada bahan import, termasuk Malaysia.
  2. Gangguan Rantaian Bekalan
    • Tarif yang tinggi menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan global, mengakibatkan beberapa sektor di Malaysia terjejas kerana bahan mentah dan komponen yang diimport menjadi lebih mahal.
  3. Ketidaktentuan Ekonomi dan Perdagangan
    • Malaysia mengalami ketidaktentuan dalam pasaran eksport, terutamanya ke China dan AS. Walaupun terdapat peluang baharu, permintaan untuk produk eksport tertentu seperti kelapa sawit dan komponen elektronik menjadi lebih tidak menentu akibat kesan perang perdagangan.
  4. Risiko tarif tambahan
    • Malaysia, sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan dengan China, menghadapi risiko peningkatan tarif oleh AS jika negara ini dianggap sebagai negara perantara atau “transshipment” untuk produk China, yang meningkatkan kos bagi eksport Malaysia